29 Mar 2012

Apakah Zakat arti Cukai ?


Apakah Zakat arti Cukai ? 
1.Gulongan yang hanya berpegang Quran , tentan Zakat ini bagini :
Zakat sebenar, Sedekah & Nafkah

Zakat diertikan umat sebagai "sejenis cukai yang diwajibkan atas tiap-tiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya (rukun Islam yang keempat); ~ fitrah = ~ badan zakat yang wajib dibayar oleh tiap-tiap orang Islam setahun sekali (pada bulan Ramadan sehingga sebelum sembahyang Hari Raya Puasa);" Pengertian itu dipetik daripada Kamus Dewan.

Suci
Menurut al-Qur'an, atau pengertiannya yang sebenar, datang dari Tuhan, zakat bermaksud suci atau kesucian dalam bahasa Melayu. Ia tergolong dalam satu kata akar bersama kalimat zaka, zakiy, zakka, dan tazakka, yang bererti suci atau kesucian atau menyucikan. Ayat-ayat mereka turut disuratkan di sini sebagai contoh. (Sila lihat Kalimat zakat di dalam al-Qur'an. Link itu turut dicatatkan di hujung halaman ini.) 
Contoh bagi zakat yang membawa maksud suci atau kesucian di dalam al-Qur'an ada beberapa. Dua daripadanya adalah seperti berikut:
"Maka kami menghendaki supaya Pemelihara mereka memberi mereka, dengan menukarkan yang lebih baik daripada dia, dalam zakat (kesucian), dan lebih dekat dalam kasih sayang" (18:81).
"Dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan zakat (kesucian), dan dia (Nabi Yahya) bertakwa," (19:13).
Zakat atau kesucian yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang dilakukan. Firman-Nya,
"Dan yang pada zakat, mereka melakukan;" (23:4).
Apa yang dilakukan itu pula adalah perbuatan "memberi" atau "ata" dalam loghat al-Qur'an. Lantas disebut "aatuz zakaata" atau "berikanlah zakat" di dalam Kitab.
Memberi zakat adalah suruhan Allah ke atas manusia yang disebut dari awal lagi di dalam al-Qur'an. Ia disebut berulang kali. Ayat yang pertama menyebutnya berbunyi,
"Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan tunduklah bersama orang-orang yang tunduk" (2:43).
Dengan itu, disimpulkan bahawa memberi zakat bermaksud memberi sesuatu yang akan menyucikan orang yang memberi. Misal memberi ialah sedekah.

Sedekah
Amalan sedekah memang menyucikan, menurut ayat 9:103. Perkataan "menyucikan" di dalam ayat tersebut diterjemah daripada kalimat zakka yang seakar dengan zakat. Ayat itu berbunyi,
"Ambillah daripada harta mereka sedekah untuk membersihkan mereka, dan untuk menyucikan (yuzakki) mereka dengannya,"
Maka amalan sedekah adalah zakat (menyucikan) dan ia juga dikatakan "membersihkan". Sedekah diberi daripada harta yang dimiliki, dan diberi kepada:
"orang-orang fakir (yang memerlukan),
 orang-orang miskin, dan
 yang beramal terhadapnya, dan
 orang-orang yang hatinya disatukan, dan
 memerdekakan hamba-hamba, dan
 orang-orang yang berhutang di jalan Allah, dan
 musafir;
 begitulah ketentuan Allah"
(9:60).
Sedikit penjelasan mengenai dua yang baru disebut, iaitu orang-orang yang beramal terhadapnya dan orang-orang yang hatinya disatukan. Yang pertama bermaksud orang-orang yang beramal terhadap (atau menjaga hal-ehwal) orang-orang fakir dan miskin, dan kedua bermaksud orang-orang yang hati baru disatukan dengan orang-orang beriman atau sering dipanggil "saudara baru". Kepada mereka berdua sedekah diberi juga.
Sedekah diberi dengan cara terang-terangan atau berahsia. Namun, cara berahsia adalah lebih baik. Firman-Nya,
"Jika kamu menampakkan sedekah kamu, ia sangat baik, tetapi jika kamu merahsiakannya, dan memberikan orang-orang fakir (yang memerlukan), maka itulah lebih baik bagi kamu, dan akan melepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu" (2:271).

Memberi harta
Di samping itu, terdapat satu lagi ayat yang menyebut mengenai memberi harta untuk menyucikan diri. Perkataan "menyucikan" di dalamnya diterjemah daripada kalimat "tazakka" yang seakar dengan zakat. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,
"Yang memberikan hartanya untuk menyucikan dirinya" (92:18)
Diri dapat disucikan dengan memberi harta yang dimiliki. Tentang memberikan harta, dihuraikan lagi di dalam ayat 2:177, yang menyenaraikan penerimanya seperti di bawah ini:
"dan memberikan harta, walaupun dicintainya, kepada
 sanak saudara, dan
 anak-anak yatim, dan
 orang-orang miskin, dan
 musafir, dan
 orang-orang yang meminta-minta"
Memberi harta (yang seakan maksud zakat) di situ didapati serupa dengan sedekah iaitu diberi daripada harta yang dimiliki juga. Contoh wang, pakaian dan sebagainya.

Nafkah
Selanjutnya, amalan sedekah dikaitkan dengan amalan nafkah. Nafkah bermaksud membelanjakan daripada apa yang Allah rezekikan. Firman-Nya,
"Nafkahkanlah (belanjakanlah) daripada apa yang Kami merezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau menangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik).'” (63:10)
Antara nafkah dengan sedekah, nafkah disebut terlebih dahulu di dalam al-Qur'an - nafkah pada ayat 2:3, dan sedekah, ayat 2:196
Barang yang dinafkahkan adalah:
  • sebahagian daripada apa yang Allah rezekikan (2:3)
  • daripada benda-benda yang baik yang diusahakan, dan
  • daripada apa yang Allah mengeluarkan dari bumi (2:267) dan,  
  • persiapan untuk berjuang di jalan Allah, seperti barisan-barisan kuda (8:60).
Mengenai jumlah atau kadar untuk dinafkahkan, Allah tidak menentukannya dengan tepat di dalam al-Qur'an. Dia hanya menyebut "Yang berlebihan" (2:219). Tentu ada hikmahnya mengapa Dia menetapkan demikian.
Selain menyebut "yang berlebihan", Dia menyatakan lagi, iaitu nafkah harus diberi menurut kemampuan masing-masing. Firman-Nya,
"Hendaklah orang yang mempunyai keluasan menafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang Allah memberinya. Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia memberikannya." (65:7)
Pendek kata, nafkah dikeluarkan semasa senang dan susah (3:134). Ia diberi kepada:
"ibu bapa, dan
 sanak saudara, dan
 anak-anak yatim, dan
 orang-orang miskin, dan
 orang-orang musafir"
(2:215), 

dan orang-orang fakir yang
"terkepung di jalan Allah, dan yang tidak boleh berpergian di bumi" (2:273)

Pengasihan Allah
Amalan memberi zakat bukan baru. Suruhan Tuhan itu sudah diamalkan sejak zaman dahulu, oleh Bani Israil (2:83). Golongan Bani Israil pula boleh dikatakan yang tertua di dunia. Ia disebut sejak dari kisah anak-anak Adam lagi (5:32).
Zakat adalah suatu tuntutan yang besar dalam Islam. Ia disifatkan sebagai:
  • kebaikan yang didahulukan untuk jiwa seseorang (2:110) dan,
  • suatu ketaatan dan ketakwaan kepada Tuhan (2:177)
Upah atau balasannya hanya didapati di sisi Allah (ayat 2:110 tadi). Dengan amalan memberi zakat, di samping bertakwa dan benar-benar mempercayai ayat-ayat al-Qur'an, seseorang layak untuk menerima pengasihan daripada Tuhannya. Itu dijelaskan di dalam sebuah firman Allah bermaksud,
"dan pengasihan-Ku, merangkumi segala sesuatu, dan Aku akan menuliskannya untuk orang-orang yang bertakwa, dan memberi zakat, dan orang-orang yang benar-benar mempercayai ayat-ayat Kami," (7:156)

Rukun Islam
Sekiranya ingin mengatakan bahawa berzakat - seperti sedekah, memberi harta, dan nafkah - sebahagian daripada rukun Islam maka ia difikirkan amat tepat sekali.
Ia bukan seperti pungutan cukai dengan kadar tertentu, diguna untuk pelbagai kegiatan. Zakat bukan cukai yang dibayar kepada negeri.
Zakat dilakukan dengan kerelaan hati muslim, dan diberi kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Dan zakat fitrah, yang dibayar oleh umat pada tiap-tiap bulan Ramadan, adalah satu contoh bagi ajaran zakat yang palsu. Zakat seperti itu dengan syarat-syaratnya tidak disebut di dalam al-Qur'an, bermaksud, tidak diajar dalam ajaran agama Allah sebenar.
******
Kembali kehalaman Utama

0 ulasan: